Mar 30, 2013

Hingga Ke Saat Akhir

anak kucing

Perjuangan Kelantan The Red Warriors yang tidak berputus asa hingga ke minit-minit akhir perlawanan membuahkan hasil. Jaringan Mohd Nor Farhan Muhammad memberikan gol ketiga kepada Kelantan untuk menewaskan Angkatan Tentera Malaysia [ATM] 3-2 dalam saingan Liga Super 2013 malam tadi. Tahniah.

Barisan Nasional juga nampaknya mahu berjuang hingga ke saat akhir dengan tidak membubarkan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri [DUN] walau pun terus diasak oleh Pakatan Rakyat untuk berbuat demikian. DUN Negeri Sembilan telah pun terbubar secara automatik pada 28 Mac 2013, situasi yang belum pernah berlaku dalam sejarah pilihan raya Malaysia sebelum ini.

Kesempatan masih ada dan peluang masih terbuka kepada sesiapa sahaja yang mahu berjuang dan berusaha untuk menjadi lebih baik berbanding hari semalam, selagi nyawa dikandung badan.

Mar 23, 2013

Harimau Malaya Tunjuk Taring

Bukan kerana jodoh dan bukan juga kerana bola sepak Malaysia tiada penyerang. Malam tadi Malaysia berjaya kalahkan Yemen 2-1 hasil jaringan Azamuddin Akil dan Khyrill Muhymeen. Tahniah.

Tengok kepada permainan malam tadi, aku fikir Datuk Rajagobal tak perlu lagi mencari jodoh baru sebagai penyerang Harimau Malaya. Mat Yo boleh saja dibiarkan berlegar kat depan untuk kucar-kacirkan pertahanan lawan. Jaringan gol boleh dibuat oleh pemain lain seperti Azamuddin, Khyrill, Mahali, Wan Zack dan lain-lain yang bergerak di belakang Mat Yo.

Menang di Stadium Shah Alam malam tadi, Malaysia berkedudukan di tempat ke-3 Kumpulan D di belakang Bahrain dan Qatar. Laluan masih terbuka untuk Harimau Malaya dalam pusingan kelayakan Piala Asia 2015 ini.

Mar 2, 2013

Kelantan Seri Lagi

hati kecewa

Perlawanan ke-9 Kelantan The Red Warriors dalam saingan Liga Super 2013 berkesudahan dengan seri lagi sekali. Kalau sebelum ini seri dengan Pahang di tempat lawan, kali ini seri dengan Perak pula di gelanggang sendiri.

Selepas sembilan perlawanan, Kelantan telah seri sebanyak 5 kali, menang 2 kali, kalah 2 kali dan mengumpul 11 mata. Kelantan kini di tempat ke-7 dalam carta Liga Super 2013 ini. Satu kedudukan yang sangat tidak bagus sebagai penyandang Juara Liga Super.

Keita Mandjou nampaknya makin menggembirakan peminat dan penyokong apabila berjaya menjaringkan gol sekali lagi dan menyelamatkan maruah Kelantan di gelanggang sendiri. Mungkin juga akan menyelamatkan kedudukannya dalam pasukan Kelantan.